BAGI yang obses beg tangan berjenama dan diimport dari luar negara tetapi inginkan harga yang lebih murah, anda sebenarnya berpeluang untuk mendapatkannya.
Berbekalkan sebuah komputer dan melayari laman blog wwwbegalicious.blogspot.com, kini anda boleh membuat pelbagai pilihan mengikut cita rasa dengan hanya di hujung jari.
Jenama Coach, Kate Spade, Aiteen Aigner, Marc Jacobs, Gucci dan jenama-jenama lain yang menjadi trend masa kini ditawarkan kepada pelanggan di seluruh negara secara talian, lengkap dengan harga serta cara untuk membuat pesanan.
Selain beg tangan wanita, barangan berjenama lain seperti dompet, cermin mata dan jam tangan turut dijual menerusi laman web berkenaan.
Segala kemudahan itu adalah inisiatif seorang suri rumah yang menetap di Taman Tun Dr. Ismail (TTDI) Jaya, Shah Alam, yang mewujudkan perniagaan beli-belah di alam siber ini sejak setahun lalu.
Sebelum itu, dalam tempoh selama dua tahun, Zuriana Abu Kassim, 38, hanya menjadi pengikut setia blog-blog sedia ada. Namun dia mula menceburi bidang perniagaan ini setelah mendapati permintaan membeli-belah secara talian terutama dalam kalangan wanita semakin tinggi.
“Saya mengambil keputusan untuk berjinak-jinak dalam perniagaan ini walaupun pada asalnya hanya untuk mengisi masa yang banyak terluang,” kata Zuriana yang ditemui baru-baru ini.
Dengan jumlah kenalan dalam kalangan bloggers dan rakan pelanggan untuk blog sedia ada yang semakin meningkat, ibu kepada empat orang cahaya mata itu mula cekalkan hati untuk membina blog sendiri.
Tanpa sebarang ilmu khusus terhadap pembinaan blog dan perkara-perkara teknikal, Zuriana terus mengutip pengalaman dari hari ke hari sehinggalah lahirnya laman blog wwwbegalicious.blogspot.com.
“Berdasarkan kepada jumlah pengikut yang mencecah 50 orang dan hits (pengunjung) yang mencapai 30,000 orang, saya bersyukur dengan pencapaian setakat ini.
“Selain itu, jaringan laman sosial, Facebook juga dijadikan platform untuk tujuan promosi di samping mengeratkan silaturahim, urusan permintaan dan penawaran harga,” jelasnya.
Dari segi harga, Zuriana mengatakan ia sangat berpatutan dan jauh lebih murah berbanding harga barang yang sama yang dijual di butik-butik terkemuka di negara ini.
Persaingan kompetitif
Perbezaan harga yang ketara jelasnya disebabkan perniagaan seumpama ini hanya melibatkan kos yang minimum tetapi kualitinya terjamin.
“Kebanyakan barang diimport dari Amerika Syarikat dan Eropah.
“Rakan-rakan dan ahli keluarga yang menetap di Los Angeles, Texas, Chicago, London dan Belanda banyak membantu saya mendapatkan barangan yang dipesan oleh pelanggan,” ujarnya yang berjaya menjual lebih lebih 80 beg tangan wanita setakat ini.
Menyedari persaingan yang sangat kompetitif, Zuriana bagaimanapun yakin bahawa masih ramai wanita yang celik teknologi tergolong dalam kategori mereka yang berkemampuan.
“Begalicious Frenzy akan terus berusaha memberi yang terbaik untuk setiap pelanggan, baik dari segi kualiti barangan sehingga ke pembungkusan dan penghantaran. Keuntungan tidak semestinya banyak, namun yang ditagih ialah keberkatan,” katanya.
Zuriana memberitahu, insan yang banyak memberi tunjuk ajar dan membantunya selama ini ialah suaminya, Dr. Abd. Rasid Abd. Rahman.
Abd. Rasid merupakan Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Kualiti) Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Shah Alam. Suaminya banyak memberi tunjuk ajar tentang kepentingan komunikasi berkesan, bahasa yang digunakan untuk pertuturan dan penulisan selain menjaga hati serta kepuasan pelanggan.
Kepada yang ingin mendapatkan maklumat lanjut sila layari wwwbegalicious.blogspot.com bagi mengetahui produk-produk terkini.
Sumber: Kosmo