Rabu, 23 Februari 2011
iPhone bukan telefon pintar paling laris
LONDON - Satu kajian terbaru mendapati telefon pintar keluaran Apple Inc, iPhone bukan lagi antara gajet paling laris di Britain, lapor sebuah akhbar semalam.
Telefon pintar iPhone kini berada di tempat keenam senarai telefon pintar terlaris di negara itu dengan orang ramai cenderung memilih gajet serupa yang jauh lebih murah.
Kajian tersebut dibuat oleh laman web uSwitch.com Mobile, yang menyenaraikan telefon pintar yang paling popular pada masa kini di Britain berdasarkan nilai jualan dan pencarian di Internet.
Ia mendapati telefon pintar Desire keluaran syarikat Taiwan, HTC menduduki tempat pertama senarai itu dengan diikuti HTC Desire HD dan HTC Wildfire.
"Selain boleh mengakses beribu-ribu aplikasi seperti iPhone, HTC Desire memiliki kelebihan lain yang memikat pengguna," kata komen di uSwitch.
Telefon HTC dan beberapa gajet lain meniru aplikasi skrin sentuh iPhone yang menjadi popular.
Semua telefon pintar kini menawarkan akses Internet kelajuan tinggi bersama-sama video, muzik dan pelbagai jenis permainan. - Agensi
Sumber: Kosmo
0 ulasan:
Catat Ulasan